Bandar Warisan: Taiping

Oleh Shafinaz Ahmad Shaharir
Kredit gambar: Muhammad Nazirul Hakim

Bandar Taiping yang terletak di negeri Perak merupakan sebuah bandar warisan yang menyimpan seribu kenangan dan merupakan sebuah bandar permulaan bagi arus pemodenan di Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. Nama Taiping berasal daripada perkataan Cina “Tai-Peng” yang bermaksud aman selamanya setelah tamatnya perang Larut pada tahun 1874. Bandar Taiping wujud hasil daripada kegiatan perlombongan secara besar-besaran yang dipelopori oleh pemimpin Melayu iaitu Long Jaafar.

Asalnya bandar Taiping merupakan penempatan bagi sebilangan kecil masyarakat Melayu namun perjumpaan bijih timah yang banyak di Larut telah menarik perhatian orang asing untuk berhijrah ke bandar ini. Dahulunya sebelum penjajahan British di negeri Perak, Taiping atau nama asalnya Kelian Pauh terletak di bawah daerah Larut. Larut yang dimaksudkan bukanlah daerah Larut, Matang dan Selama yang ada pada hari ini tetapi Larut tersebut merangkumi ke utara hingga ke Sungai Kerian dan menganjur ke selatan sampai ke Sungai Beruas. Nama Larut adalah bersempena dengan nama seekor gajah yang digunakan untuk mengangkut bijih timah tetapi telah terlepas ke dalam hutan. Apabila gajah itu ditemui, kaki gajah tersebut berlumpur hitam dipenuhi dengan pasir bijih timah. Dipercayai disebabkan peristiwa gajah ini, daerah ini dinamakan sebagai Larut dan mula menjadi rebutan para pembesar negeri, penjajah dan pedagang asing termasuk pelombong Cina kerana buminya yang amat kaya dengan bijih timah.

Apabila menyentuh sejarah kegemilangan Taiping, dua tokoh terkemuka Melayu bagi bandar ini tidak harus dilupakan iaitu Long Jaafar dan Ngah Ibrahim. Kejayaan mereka mengubah Larut daripada sebuah kawasan pendalaman kepada sebuah daerah yang kaya dan terkenal tidak harus dinafikan. Ini kerana kejayaan mereka telah mendahului zaman pada waktu itu lagi dengan menjadi pembesar Melayu dan tokoh perniagaan Melayu.

Pemandangan senja di Kuala Sepetang, Taiping.
Kilang arang merupakan industri paling tua di Kuala Sepetang, Taiping.

Pengasas Pengembangan Bandar Taiping

Sebelum kedatangan British ke negeri Perak, Larut ditadbir oleh Long Jaafar yang telah diberi kuasa oleh Sultan Perak ketika itu. Umum mengetahui bahawa Long Jaafar yang telah membuka lombong bijih timah di Larut secara besar-besaran dan sungai-sungai dijadikan lombong bijih timah. Long Jaafar merupakan anak kepada Dato’ Paduka Setia Long Abdul Latif dan menantu kepada Datuk Panglima Bukit Gantang Alang Alaiddin. Long Jaafar berkahwin dengan sepupunya Ngah Pura, anak kepada bapa saudaranya iaitu Alang Alaiddin. Bermula dengan penemuan bijih timah secara tidak sengaja oleh Long Jaafar di Kelian Pauh (Taiping) telah membuka lembaran sejarah baharu dalam perlombongan bijih timah di Larut. Jumpaan baharu kawasan bijih timah yang dikenali sebagai Kelian Baru (Kamunting) turut meluaskan lagi kejayaan Long Jaafar dalam perusahaan bijih timah dan telah menaikkan lagi kedudukan beliau sebagai seseorang yang lebih berpengaruh dan kaya.

Kejayaan Long Jaafar membuka perlombongan bijih timah di Larut membuatkan beliau memperoleh kawasan pajakan di Larut dengan membayar sebanyak $125.00 setahun kepada Datuk Panglima Bukit Gantang. Kedudukan beliau bertambah kukuh apabila pada 28 Februari 1850, Long Jaafar menerima pengurniaan kuasa dan hak memerintah Larut daripada Sultan Perak, Sultan Shahabuddin Riayat Shah (1830-1851). Beliau meluaskan lagi daerah ini meliputi Matang, Kerian dan Selama serta menjadikan Kota Bukit Gantang sebagai pusat pentadbirannya.

Atas kebijaksanaan Long Jaafar, Larut mula berkembang pesat dengan aktiviti perlombongan bijih timah. Sebelum kedatangan pelombong Cina, penduduk tempatan telah melakukan kerja-kerja melombong secara mendulang sahaja. Namun dengan kedatangan pelombong Cina yang dibawa masuk oleh Long Jaafar pada tahun 1840, teknik melombong menjadi lebih rapi dan sistematik menyebabkan beliau membawa lebih ramai lagi pelombong Cina ke kawasan Larut untuk bekerja dengannya. Kerancakan ekonomi ini telah meletakkan Long Jaafar sebagai hartawan dan ahli perniagaan yang amat berpengaruh pada waktu itu. Ini dapat dibuktikan apabila Long Jaafar mempunyai hubungan yang erat dengan saudagar-saudagar Cina di Pulau Pinang dan hasil bijih timah Larut dijual kepada mereka. Hubungan erat antara Long Jaafar dengan orang Cina dapat dibuktikan melalui hubungannya dengan Law Sam. Law Sam merupakan ketua orang Cina bagi sukunya dan merekalah golongan pertama orang Cina yang datang ke Kelian Pauh.

Apabila Long Ja’afar meninggal dunia pada tahun 1857, kejayaan dan kekayaan beliau diwarisi kepada anak kedua beliau, Ngah Ibrahim. Ngah Ibrahim juga berjaya mendapatkan hak untuk memerintah jajahan Larut termasuk Kerian dan Bagan Tiang daripada Sultan Ja’afar Muazzam Syah (1857-1865) pada 30 November 1857. Beliau juga menempa nama sebagai seorang pemerintah dan ahli perniagaan yang amat berjaya seperti bapanya tetapi dengan corak pentadbiran yang lebih moden serta beliau memindahkan pusat pentadbiran Larut dari Bukit Gantang ke Kota Ngah Ibrahim di Permatang (Matang). Apabila berlaku pergolakan kuasa dan termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, menjadi titik perubahan kepada kegemilangan Ngah Ibrahim yang menyebabkan beliau dan pembesar-pembesar Melayu yang menentang British kehilangan kuasa.

Apabila berlaku pergolakan kuasa antara pembesar-pembesar Melayu dan pergaduhan antara ketua-ketua kongsi gelap Cina telah membuka peluang pihak British menjajah negeri Perak. British juga mula campur tangan dalam pentadbiran Larut. Kapten Speedy, Penolong Residen British dilantik untuk mentadbir Larut dan J.W.W. Birch menjadi Residen Inggeris yang pertama di negeri Perak.  Pihak British menyusun semula pentadbiran di Larut dan memberi nama baru kepada Kelian Pauh iaitu Taiping. Setelah pembunuhan Birch, Taiping dipilih sebagai pusat pentadbiran dan ibu kota negeri Perak. Kapten Speedy dipindah ke Hulu Perak. Semenjak itu, bandar ini mula berkembang pesat dengan pembangunan dan pada tahun 1883 telah wujud bangunan-bangunan baru yang digunakan sebagai mahkamah dan pejabat.

Keunikan Bandar Taiping

Pada masa kini, keunikan bandar Taiping dapat dilihat pada bangunan-bangunan dan barisan kedai-kedai lama yang menjadi ciri penting dalam membentuk identiti bandar warisan ini. Kebanyakan bangunan-bangunan konkrit ini masih kekal dan mempamerkan seni bina kolonial yang dibawa oleh penjajah-penjajah Eropah terutamanya British.

Pembangunan awal di Taiping terbahagi kepada dua era iaitu sebelum kedatangan British dan semasa pendudukan British di Tanah Melayu. Ketika pemerintahan Long Jaafar, sebuah kota dibina di Bukit Gantang sebagai sebuah pusat pentadbiran Larut dan pusat perniagaannya. Kota ini dilengkapi dengan benteng pertahanan dan gudang. Diikuti pula dengan pemerintahan Ngah Ibrahim, beliau menjadikan Matang sebagai kota pentadbiran Larut yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, balai pengawal, rumah kedai, penjara, gudang senjata, gudang menyimpan bijih timah dan lain-lain lagi kemudahan. Pada waktu ini, kebanyakaan bangunan dibina berasaskan kayu-kayan yang menyebabkan ia tidak bertahan untuk jangka tempoh yang lama.

Menara jam Taiping.
Antara bangunan bersejarah yang telah usang di Taiping.

Era kedua pembangunan Taiping adalah ketika penjajahan British. Pihak British mula membangunkan bandar ini secara terancang serta lengkap dengan kemudahan infrastruktur. Kebanyakan bangunan ini dibina rapi di sepanjang jalan-jalan utama dalam bentuk grid segi empat dan ditanami pokok-pokok. Premis perniagaan dibina dalam bentuk blok dengan sepuluh buah kedai untuk setiap blok di hadapan jalan raya yang lebih lebar. Jalan-jalan utama pada waktu itu adalah Jalan Stadium, Jalan Theatre, Jalan Kota, Jalan Barrack, Jalan Main dan Jalan Old Club. Sepanjang tahun 1880-an pembangunan dan kemajuan di Taiping dikatakan mendahului bandar-bandar lain di Tanah Melayu. Muzium Perak, muzium pertama di negara ini dibina pada tahun 1883 dan selesai pembinaannya pada tahun 1886. Sistem pengangkutan dan perhubungan menerusi jalan darat yang menghubungkan Taiping dan Parit Buntar turut dibina dan hampir selesai pembinaannya pada tahun 1883. Buat pertama kalinya, keretapi membawa penumpang dari Port Weld ke Taiping pada 12 Februari 1885.

Bukti sejarah pembinaan landasan keretapi pertama di negara ini.
Seni bina bangunan lama di Taiping adalah campuran Melayu dan kolonial kesan daripada penjajahan British.

Ketika itu, Port Weld merupakan sebuah pelabuhan yang sangat sibuk kerana hasil eksport dan import antara Taiping dan Pulau Pinang disalurkan melalui pelabuhan ini. Beberapa bangunan pentadbiran kerajaan juga turut dibina termasuklah pejabat pos dan telegraf pada tahun 1884. Penjara pertama di Malaysia juga turut dibina pada tahun 1879 yang dikenali sebagai Penjara Taiping bagi menampung penjenayah yang dihukum penjara di seluruh Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Taiping juga mendahului dalam sistem pendidikan Inggeris di Tanah Melayu dengan terbinanya sekolah Inggeris pertama di Kamunting pada tahun 1878. Sekolah King Edward VII yang dibina pada tahun 1883 juga merupakan sebuah sekolah yang terbaik yang bukan hanya terkemuka dalam bidang pelajaran tetapi pelbagai jenis sukan seperti ragbi dan bola sepak. Malah, Taiping ketika itu juga menitik berat aktiviti riadah dan rekreasi dengan wujudnya Perak Club pada tahun 1881, eksklusif untuk warga Eropah dan Eurasian serta Taman Tasik Taiping yang merupakan taman rekreasi yang tertua di Malaysia dibina atas tapak bekas lombong bijih timah pada tahun 1884. Disebabkan kemajuan Taiping pada waktu itu menyebabkan bandar ini amat terkenal dengan jolokan “yang pertama” (first of many) kerana bandar ini mempunyai lebih daripada 30 kejayaan iaitu menjadi “yang pertama” sama ada dalam pentadbiran, pendidikan, kemudahan awam dan komunikasi, institusi keagaaman, pusat rekreasi, penerbitan dan persatuan.

Sekolah Kebangsaan King Edward VII (1883)
Rumah ‘Assistant Resident’ (1884)

Kesimpulan

Taiping menjadi simbol kebijaksanaan masyarakat dahulu dalam pentadbiran membangunkan sebuah bandar secara teratur serta sistematik yang lengkap dengan pelbagai fasiliti dan kemudahan. Bandar ini telah mencapai usia lebih 100 tahun dan telah diangkat sebagai bandar warisan yang sangat unik malah signifikan dalam perkembangan sejarah awal Malaysia. Malah, Taiping sering menjadi tumpuan para penyelidik dalam pelbagai bidang termasuklah mengkaji seni bina struktur bangunan-bangunan terawal yang terdapat di bandar ini. Pentingnya bandar warisan ini bukan sahaja menjadi tumpuan para pelancong, tetapi untuk tatapan generasi baru Malaysia yang bakal mewarisi negara ini bagi mereka mengetahui tentang asal-usul mereka dan menghayati peristiwa masa lalu negara. Malah generasi baru juga harus tahu bahawa Taiping merupakan tempat bermulanya pertumbuhan nasionalisme Melayu yang diketuai oleh Ngah Ibrahim dan sekutunya dalam menentang campur tangan penjajah British di negara ini. Oleh itu, peranan bandar ini tidak harus diabaikan dan langkah-langkah pemuliharaan bangunan-bangunan yang telah dimamah usia haruslah diberi perhatian dengan segera bagi tatapan generasi akan datang.

Peace Hotel (1928)
Taiping terkenal dengan pelbagai jenis makanan termasuk makanan Hainan.
Ruang depan Hotel Peking (1929)

Rujukan

A. T. (2004). Old Taiping. Malaysia: Alex Teoh Eng Kean.

Azmi , N., Shamsul Harumain, Y., Ali , A., Zaini, S., & Abdullah, M. (2017). Character-Defining Elements of Shophouses Buildings in Taiping, Perak. Journal of Design and Built Environment, Special Issue, 139-149. Retrieved August 23, 2022, from https://ejournal.um.edu.my/index.php/jdbe/article/view/10151/7197

Khoo Kay Kim. (1994). Taiping: Ibu Kota Perak. Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia.

Mohd Zamberi, A. (2001). Larut Daerah Terkaya. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muzium Matang (2022). Pameran Khas: Menelusuri Jejak Tengku Menteri Ngah Ibrahim. Taiping: Jabatan Muzium Malaysia

Zainol, R. (2017). Pelancongan Bandar Di Taiping. Sejarah: Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 15(15), 129-141. doi:https://doi.org/10.22452/sejarah.vol15no15.7

Advertisement

Author: Museum Volunteers, JMM

Museum Volunteers, JMM Taking the Mystery out of History

%d bloggers like this: